Sepatah Kata, Seuntai Bicara…

Sepatah Kata, Seuntai Bicara…

Assalamualaikum wbt, Salam 1 Malaysia, Salam Perak Aman Jaya, Salam Negaraku Malaysia yang tercinta, Salam Perak Excellent, Salam Kinta Selatan Excellent, Salam SENTOSA Excellent.

Selamat datang dan selamat kembali bertugas kepada Warga SENTOSA yang dirahmati Allah. Syabas dan tahniah kepada semua guru serta warga pendidik SENTOSA kerana telah berjaya mengharungi cabaran 2018 dengan jayanya. Sepanjang tahun 2018, sebagai pendidik harapan bangsa dan juga Negara, kita telah melakukan perkara yang terbaik untuk karier dan juga pembangunan sekolah samada dari segi material mahupun tenaga. Hanya Allah yang akan membalas usaha murni tuan-tuan dan puan-puan.

Alhamdulillah. Marilah kita berdoa, semoga sesi 2019 ini menjadi tahun yang lebih baik dan cemerlang dari tahun lepas dan tahun-tahun sebelum ini. Pelan Pembangunan Pendidkan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kini telah pun berada di tahun ketiga di dalam Gelombang 2 (2016-2020) yang berteraskan kepada 11 anjakan utama dan salah satunya adalah menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Dalam usaha untuk menyediakan kumpulan masyarakat di sebuah negara maju pada masa akan datang; sistem pendidikan di Malaysia telah banyak mengalami perubahan dan penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan mutu pendidikan negara kita setanding dengan negara-negara maju. Untuk memastikan kesamarataan akses dan peningkatan kualiti kepada setiap murid , kita MESTI bersedia untuk menangani dan bersama perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK 21), Dual Language Programme (DLP), Program Transformasi Daerah (DTP), Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV), PLC, i-Think, Frog-VLE dan terbaru KSSM yang diperkenalkan dalam sisitem pendidikan kita MESTI diterima sebagai satu cabaran untuk dijadikan sebagai budaya di dalam PdPc.

Sebagai guru kita MESTI bersedia menangani segala perubahan ini agar kita tidak ketinggalan. Saya yakin dengan perpaduan dan kekuatan ukhwah asas yang kukuh dan sedia ada, akan lebih banyak usaha inovasi dan kreativiti dilaksanakan selaras dengan cabaran dan perubahan yang kita tempuhi untuk institusi kita bergerak SELARAS dan SEDERAP dengan institusi lain. Sebagai warga pendidik SENTOSA yang ingin melihat kejayaan institusi yang didokong adalah menjadi harapan saya, agar semua warga SENTOSA bersedia, proaktif terus berpadu tenaga untuk menimba ilmu-ilmu baharu menerusi latihan-latihan dan juga kursus-kursus secara langsung formal dan informal. Budaya “Teamwork”, Professional Learning Community (PLC) dan “Peer Coaching” MESTI dijadikan amalan untuk bersama-sama menangani perubahan dalam sistem pendidikan terkini. Tahun 2019, merupakan tahun kedua kita melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pelbagai masalah, rintangan dan juga cabaran kita lalui. Demi anak bangsa dan Negaraku Malaysia, berbekalkan kekuatan mental dan fizikal kita harungi bersama agar ianya dapat memberi impak yang positif kepada anak didik tercinta.

Akhir kata, apapun cabaran dan transformasi yang datang, Warga SENTOSA harus bersedia dengan minda terbuka untuk terus bersaing, berubah, dan terus MAJU. Kita mesti bersatu bukan sahaja untuk merealisasikan kejayaan dan impian tetapi juga maruah sekolah dan harga diri kita sebagai Warga SENTOSA.

“SENTOSARIAN – TIME TO LEAD”

Sekian, Wassallam.

Saya yang menurut perintah,

………………………………………………………

(HJ. MOHD PUAT BIN YUSOF)

PENGETUA

SMK SENTOSA, KAMPAR